Wednesday, June 16, 2010

Konsensus Bebas : Hormati pendirian Adun Malim Nawar

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Konsensus Bebas mahu semua pihak menghormati keputusan Adun Malim Nawar Keshvinder Singh yang keluar dari DAP hari ini, sekali gus mengisytiharkan sebagai wakil rakyat Bebas.

Konsensus Bebas juga menyeru rakyat menghormati keputusan wakil rakyat itu selepas kecewa dengan kepimpinan tertinggi DAP, yang didakwa tidak membantunya dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat.

“Konsensus Bebas percaya bahawa ada lagi Adun dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang akan keluar parti.

“Bukan setakat Adun dan Ahli Parlimen, malahan di kalangan pimpinan akar umbi juga sudah mula muak dan kecewa dengan permainan politik berlebih-lebihan di kalangan pimpinan Pakatan Rakyat,” kata kenyataan Konsensus Bebas dikeluarkan lewat petang ini.

PKR sebagai parti yang menerajui Pakatan Rakyat sudah gagal dan tidak mampu lagi untuk terus memimpin PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat, kata Konsensus Bebas lagi.
Keshvinder Singh – wakil rakyat DAP kedua dari Perak keluar parti atas alasan “tidak cukup peruntukan” dan kecewa dengan kepimpinan DAP.

Mengumumkan pendiriannya di sini tengah hari ini, Keshvinder berkata beliau keluar DAP atas alasan mahu berkorban demi kepentingan rakyat.
Justeru Adun penggal pertama ini mahu bekerjasama dengan kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional.

“Saya Keshvinder Singh, Adun Malim Nawar mengumumkan bahawa saya keluar dari DAP dan melepaskan semua jawatan dalam DAP dan mengisytiharkan bahawa mulai hari ini, saya menjadi Adun Bebas,” katanya.

Kata Keshvinder, bagi menjaga kepentingan rakyat di kawasannya dan bagi menjamin pembangunan yang berterusan, “saya membuat keputusan, memilih untuk menyokong dan bekerjasama dengan kerajaan negeri Perak di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.”

“Keputusan ini pengorbanan saya kepada rakyat kawasan saya kerana saya sedar saya bakal menghadapi cemuhan dan tuduhan dari pelbagai pihak tetapi demi kepentingan, kesejahteraan dan masa depan rakyat saya memilih untuk rakyat Malaysia.”

Awal tahun lalu tiga Adun Pakatan Rakyat keluar parti, sekali gus membawa kepada kejatuhan kerajaan negeri Perak. Mereka termasuklah Adun Jelapang Datuk Hee Yit yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri.

Konsensus Bebas menambah pemimpin Pakatan Rakyat khususnya PKR lebih cenderung untuk mengejar publisiti dan populariti politik daripada berusaha untuk membangunkan ikatan itu menjadi sebuah organisasi politik yang tersusun.

Konsensus Bebas berkata pihaknya amat memahami dan bersimpati dengan
apa yang dibangkitkan oleh Keshvinder.

“Beliau kecewa tidak mendapat bantuan atau bimbingan daripada pimpinan parti dalam menjalankan tugas beliau sebagai Adun.

“Konsensus Bebas menyatakan bahawa kami juga berhadapan perkara sama sehingga menyebabkan kami bertindak untuk memilih menjadi Wakil Rakyat Bebas,” kata kenyataan Konsensus Bebas.

Sehubungan itu, Konsensus Bebas mengingatkan Pakatan Rakyat supaya bermuhasabah dan menilai semula diri dan memperbaiki kelemahan.

“Penyokong Pakatan Rakyat juga mesti ikhlas bertanya kenapa Adun dan Ahli Parlimen semakin bertambah bilangannya meninggal Pakatan Rakyat.

“Pasti ada yang tidak kena, pasti ada kelemahan yang perlu Pakatan Rakyat akui dan perbaiki.

“Adalah lebih baik Pakatan Rakyat memperbaiki kelemahan tersebut daripada menuduh atau menjaja pembohongan dan fitnah bahawa Adun atau Ahli Parlimen atau sesiapa sahaja yang meninggalkan Pakatan Rakyat adalah kerana telah dibeli atau disogok wang oleh BN,” kata kenyataan Konsensus lagi.


Konsensus Bebas menambah, tuduhan sebegitu tidak lebih hanya untuk mengelak dari isu sebenar bahawa Adun dan Ahli Parlimen serta penyokong Pakatan Rakyat sudah mula hilang kepercayaan kepada kepimpinan Pakatan Rakyat, khususnya Dato Seri Anwar Ibrahim yang menjadi ketua Pakatan Rakyat.

Konsensus Bebas yang ditubuhkan baru-baru ini terdiri daripada Ahli Parlimen Datuk Seri Zahrain Hashim, Wee Choo Keong, Zulkifli Noordin, Tan Tee Beng dan Mohsin Fadzli Samsuri.

Oleh G. Manimaran
(
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/konsensus-bebas-hormati-pendirian-adun-malim-nawar/)
June 15, 2010



NOTE : AloQStaQ Menyokong Kenyataan Konsensus Bebas ini ....

SETELAH SEKIAN LAMA ALOQSTAQBLOG MENYEPIKAN DIRI, HARI INI KEMBALI DENGAN MENYIARKAN KENYATAAN DARI KONSENSUS BEBAS.

1 komen:

Unknown June 17, 2010 at 2:18 PM  

Menghormati ADUN yang mengkhianati pengundi2 yang melantik nya sebagai ADUN?

  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP