Monday, June 29, 2009

Sekitar Majlis "Sepagi Bersama YABhg Tun Dr.Mahathir" Anjuran MUBARAK Kedah

Satu majlis anjuran MUBARAK (Majlis Bekas-Bekas Wakil Rakyat) Negeri Kedah telahpun diadakan pada Ahad 28hb JUN 2009 bertempat di Tingkat 8, Bangunan UMNO Alor Setar.


"Sepagi Bersama Yang Amat Berbahagia Tun Dr.Mahathir" merupakan majlis yang pada awalnya menjemput Tun Dr.Mahathir untuk merasmikan Mesyuarat Agung MUBARAK Negeri Kedah dan secara tidak langsung majlis ini telah berjaya menarik ramai hadirin untuk sama-sama mendengar amanat serta ucapan bernas Tun Dr.M yang sentiasa disayangi oleh segenap lapisan rakyat.

Majlis yang dijadualkan pada 10.30 pagi bermula sedikit lewat, lebih kurang jam 11.15 pagi. Ini berikutan Tun tiba di Bangunan UMNO Alor Setar pada lebih kurang jam 11pagi akibat kelewatan penerbangan beliau dari Kuala Lumpur seperti yang dijadualkan lebih awal. Tetapi ratusan hadirin yang memenuhi dewan, sedia menanti kehadiran beliau dan terus bersemangat menantikan ucaptama Tun untuk memberikan semangat serta suntikan kekuatan bangsa Melayu khasnya.

Antara tetamu kehormat lain yang turut hadir adalah Dato' Seri Shafie Haji Afdal merangkap Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Dato'Mukhriz Tun Dr. Mahathir sebagai Bendahari UMNO Kedah, Datuk Abdul Rahman Ibrahim sebagai Pengerusi MUBARAK Kedah dan turut serta adalah Pengerusi MUBARAK Malaysia, mantan-mantan MB Kedah yang lalu serta para tokoh-tokoh politik tanahair.

Sebagai pembuka majlis, doa dipohon ke hadrat Ilahi dan diikuti nyanyian lagu Negaraku beramai-ramai seterusnya diserikan dengan deklamasi sajak oleh seorang wakil Pemuda. Sajak yang mengisahkan perihal orang Melayu dan politik di Malaysia. Sungguh menyentuh hati dan bait-bait maksud sajak tersebut mampu memberi kesedaran kepada pendengar.

Selepas itu, ucapan alu-aluan dimulakan oleh Datuk Paduka Abdul Rahman Ibrahim sebagai Pengerusi MUBARAK Kedah, diikuti ucapan dari Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Shafie Afdal.

Masa yang ditunggu-tunggu telah tiba, Tun memberikan ucaptama kepada seluruh hadirin. Dalam sepanjang ucapan Tun, beliau memberikan banyak intipati untuk UMNO Kedah khususnya dalam berjuang mengembalikan kerajaan Negeri Kedah kepada UMNO/BN. Tun juga menyenaraikan beberapa masalah UMNO/BN yang perlu diselesaikan demi menawan semula Negeri Kedah dari kepimpinan kerajaan PAS.


Antaranya adalah menghapuskan secara menyeluruh rasuah dalam UMNO/BN. Ini kerana segelintir pemimpin UMNO yang mengamalkan rasuah untuk menang dalam pemilihan adalah menjadi punca rakyat memandang jijik dan jelik terhadap parti ini. Sedangkan tidak semua yang mengamalkan rasuah, tetapi kesan buruk perkara tersebut telah terpalit kepada keseluruhan anggota parti.

Selain itu, Tun juga mengingatkan kepada seluruh kepimpinan UMNO di setiap peringkat agar tidak lupa tanggungjawab membangunkan ekonomi rakyat keseluruhannya. Rakyat akan lebih dekat dan sayang kepada kerajaan yang boleh memberikan kebaikan dan faedah kepada segenap lapisan penduduk tidak kira Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa. Rakyat akan merasa benci kepada pemimpin yang hanya mementingkan diri sendiri dan keluarganya (termasuk anak menantu) tanpa mempedulikan ekonomi dan kebajikan kepada rakyat.


Punca kekalahan PRU-12 juga dikupas secara mendalam oleh Yang Berbahagia Tun Dr.M sepanjang ucaptama beliau. Ini kerana menurut Tun, UMNO/BN perlu jelas dan telus dalam menentukan masalah yang berlaku pada pilihanraya tersebut.


Post-Mortem yang dibuat oleh jentera UMNO/BN haruslah tepat, menyeluruh dan mampu mengenalpasti punca sebenar kekalahan. Jangan hanya memberikan alasan bahawa kekalahan teruk pada PRU-12 lalu hanya semata-mata berpunca dari kemerosotan undi dari kaum Cina dan India sahaja. Sebenarnya, undi Melayu juga tidak banyak memihak kepada BN dan Tun Dr.M mahu punca permasalahan ini dikenalpasti dan diperbetulkan segera sebelum menjelang PRU-13.


UMNO/BN pada pandangan Tun Dr.M sentiasa relevan dan disayangi oleh majoriti rakyat Malaysia. Tetapi, sayangnya segelintir pemimpin yang rakus dan merosakkan namabaik parti ini yang menyebabkan rakyat tidak menyokong parti ini sejak akhir-akhir ini. Pemulihan parti perlu dilakukan segera dan parti ini perlu dibersihkan dari pemimpin yang merosakkan, khususnya pemimpin yang mengamalkan rasuah.


Tun juga secara berseloroh mengatakan isu "mata lebam" tahun 1999 pun tidak begitu dapat menggugat kekuatan 2/3 Kerajaan BN. Tetapi apakah isu besar yang berlaku pada tempoh 2004-2008 yang menyebabkan keputusan lebih teruk kepada BN? Inilah yang parti perlu selidiki dan kaji secara tepat supaya "penyembuhan" akan tepat kepada sasaran. Jika post-mortem yang dilakukan tidak tepat dan tidak menyeluruh, maka "penyembuhan" tidak kena pada sasaran dan kesannya pada PRU-13 nanti BN akan terus tewas.


Dalam pada itu, Tun juga menekankan bahawa UMNO tidak ditolak oleh golongan profesional, bahkan ada yang pernah menemui Tun dan menyuarakan hasrat untuk menyertai UMNO tetapi hasrat mereka untuk menyertai parti ini ditolak oleh kepimpinan peringkat Cawangan dan Bahagian. Sepatutnya perkara seperti ini tidak berlaku kerana UMNO patut membuka pintu dan ruang yang luas kepada orang Melayu dari segenap lapisan sama ada profesional ataupun bukan profesional. Lebih ramai yang menyertai UMNO maka akan lebih ramai pengikut dan penyokong untuk mempertahankan parti.


Akhir sekali, Tun juga memberikan janjinya untuk sama-sama membantu mengukuhkan semula kekuatan UMNO/BN di Kedah khasnya dan Malaysia khususnya jika diperlukan. Beliau bersedia memberikan khidmat untuk berkempen untuk UMNO/BN dan seterusnya cuba sedaya beliau untuk membantu parti keramat ini.


Begitu ramai hadirin yang hadir, semuanya memberikan tepukan gemuruh dan sorakan sokongan kepada Tun Dr.M sejurus tiba di dewan, sepanjang ucapan beliau dan selepas tamat ucaptama beliau pada majlis ini.

Sesungguhnya jasa Tun Dr.M sepanjang beliau bergiat dalam arena politik tanahair dikenang oleh segenap lapisan usia dan seluruh umat Melayu. Majoritinya menyayangi dan menghormati Tun Dr. Mahathir sepanjang zaman. Terima Kasih Tun Dr.Mahahir! Jasamu dikenang dan kami sentiasa menyokong Tun Dr.Mahathir!


Laporan Ini Disediakan Oleh : AloQStaQ (29hb JUN 2009) : 10:30Pagi
.

2 komen:

Syeikh YB June 30, 2009 at 6:58 PM  

1.hehe..tun M bertuah sebab jadi PM ketika mana ekonomi semua negara asia tumbuh dan pesat dan subur. ada duit apa saja boleh buat pembangunan. naik paklah ekonomi dah mabuk.zaman najib sekarang lagi mabuk.nak kata Tun M bijak sangat? tak lahhhh.aku tak caya

Anonymous July 2, 2009 at 2:29 PM  

Saya serta ahli keluarga dari Kuala Kangsar sangat menghargai kepimpinan Tun Dr Mahathir.

Banyak majlis yang dihadiri Tun sebolehnya kami akan hadir. Kami pernah pergi ke Johor Bahru semata-mata untuk mendengar ucapan Tun di satu majlis penerangan.

Jasa Tun kepada Agama Bangsa dan Tanahair tidak dapat dilupakan.

Kalau kita mengembara bermula dari Perlis, mula-mula kita akan bertemu dengan UNIVERSITI UTARA, meluncur di LEBUHRAYA UTARA SELATAN (PLUS)menaikki kereta PROTON ke Pulau Pinang melalui JAMBATAN PULAU PINANG terus ke Kuala Lumpur. Dari jauh kelihatan PETRONAS TWIN TOWER dan KL TELEKOM TOWER menuju ke LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA SEPANG.

Singgah sebentar di CYBERJAYA dan PUTRAJAYA dan bersolat di MASJID PUTRAJAYA.

Meneruskan perjalanan ke Johor Bahru. Tapi sedih kerana jambatan BENGKOK INDAH ke Singapura telah dibatalkan oleh pemerintah yang lalu tanpa sebab yang dapat diterima.

PULAU PANDAN JAUH KETENGAH
GUNUNG DAIK BERCABANG TIGA
BANCUR BADAN DIKANDUNG TANAH
BUDI YANG BAIK DIKENANG JUGA.

ahbhz KK

  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP